Wednesday, November 4, 2009

11

En. Lex,


TERIMA KASIH DENGAN SANGAT BANYAK-BANYAK! TERIMA KASIH! TERIMA KASIH! TERIMA KASIH! Delia suruh saya tulis macam ni pada En. Lex. Dia sangat seronok dan teruja! Sangat-sangat suka! Terima kasih sebab hadiahkan Delia violin baharu tu. En. Lex sangat-sangat baik hati.

Masa kami balik dari taklimat petang tadi, violin dengan reben merah tu dah menunggu atas katil Delia, tanpa apa-apa nota. Delia tanya siapa yang beri. Saya cakap saya tak tahu. Lepas tu saya teringat tentang surat yang saya tulis pada En. Lex. Saya beritahu Delia yang saya ceritakan tentang violin dia dalam surat tu. Saya cakap yang saya syak En. Lex yang hadiahkan violin tu untuk Delia. Delia tanya lagi, siapa En. Lex sebenarnya. Apa yang saya boleh jawab? Saya cakap saya tak tahu. Delia pandang saya satu macam. Saya cakap saya memang betul-betul tak tahu. Lepas tu saya ceritakan semuanya pada Delia. Mula-mula Delia ingat saya main-main. Dia ingat saya tipu. Saya cakap saya tak tipu dan saya tak tahu nak tipu macam mana sebab saya tak tahu perkara yang sebenarnya tentang En. Lex. Yang saya tahu, En. Lex memang sangat baik hati. En. Lex suka tolong orang.

Delia rasa macam malu nak terima violin tu. Dia tak kenal En. Lex. Saya cakap, anggap aja violin tu hadiah dari seorang pak cik. Dari Pak Cu dia ke? Delia cakap dia tak ada Pak Cu. Dia ada Pak Long aja dan Pak Long dia tu ayah Aziah, roommate dia yang dulu. Pak Long dia memang baik tapi Pak Long takkan beri hadiah mahal macam tu. Pak Long dia lebih sayangkan Aziah. Delia pun duduk menumpang aja kat rumah Pak Long lepas bapa dia meninggal tahun lepas. Delia cakap dia tak nak buruk-burukkan orang lain tapi dia tahu yang Aziah memang tak sukakan dia. Macam-macam Aziah dah buat pada dia. Tapi dia sabar aja. Delia ingat, kalau dia sambung belajar, dia boleh keluar dari rumah Pak Long dan hidup sendiri. Rupa-rupanya Aziah pun dapat sambung belajar ke Zulkarnayn juga. Rupa-rupanya lagi, dia dapat satu bilik dengan Aziah. Delia memang tak rasa selamat. Dia takut. Tapi dia tak ada sesiapa nak mengadu. Akhir sekali, Aziah rosakkan violin kesayangan dia kelmarin. Delia dah tak tahan lagi. Tapi dia tak dapat buat apa-apa. Dia lari.

Nasib baik saya jumpa dia. Dan sekarang, bila dia jadi roommate saya, dia dah dapat sebuah violin baharu. Saya cakap, anggap aja Delia ada seorang uncle yang tak pernah dia jumpa. Ala-ala long-lost relative. Uncle tu namanya En. Lex. Saya cakap lagi, saya ni sebenarnya long-lost relative Delia juga. Jadi saya ni sepupu Delia yang baharu! Saya pun tak ada saudar-mara lain. Kecuali Mak Su. Saya rindu Mak Su, En. Lex! Habis minggu orientasi ni, saya nak balik rumah Mak Su, boleh? Oh, saya pun dah anggap En. Lex macam uncle saya. Uncle En. Lex, boleh? Tapi saya tak boleh balik rumah Uncle En. Lex sebab Uncle En. Lex mesti tak beri kebenaran.

En. Uncle Lex, saya dah pujuk Delia untuk terima violin hadiah tu. Delia cakap, orang dah nak beri, terima ajalah! Dia cakap, TERIMA KASIH UNCLE LEX!

Rasa macam En. Uncle Lex ni tua sangat kan? Saya pun tak tahu. Hari tu, saya tanya Es, berapa umur En. Lex. Dia tak jawab. Tadi, Delia pun tanya. Saya tak tahu. Saya agak-agak, umur En. Lex mesti dalam lingkungan 40-an. Agak-agaknya En. Lex ni bujang lagi kut? Kalau En. Lex dah kahwin, mesti anak En. Lex pun ada belajar di Zulkarnayn. Hmm.... Entah-entah, Es tu anak En. Lex? Eh, tak boleh. Es dah 25 tahun. Takkan En. Lex kahwin muda-muda sangat? Atau En. Lex ni memang lagi tua dari umur 40-an?

Es sendiri kata yang dia ada di Zulkarnayn sebab ada perjanjian dengan En. Lex. Takkan dengan anak sendiri pun En. Lex tak percaya sampai kena ada janji-janji? Jadi bolehlah saya putuskan yang Es bukan anak En. Lex dan En. Lex masih agak muda. Mungkin anak En. Lex sebaya dengan saya. Mungkin juga dia belajar di Zulkarnayn. Saya akan siasat. Delia pun kata dia akan tolong saya siasat. Jaga-jaga, En. Lex!

Oh, bercakap tentang Es.... Sekarang baru saya tahu yang Es pun belajar di Zulkarnayn juga. Dia kata dia ambil kursus Lakonan & Pengarahan. WHOAAA! Mesti Es sangat pandai berlakon, kan? Tengok gaya dia pun dah macam bintang filem. Stylo. Macho. Gentleman. Etc. Hihi! Jangan risau En. Lex. Saya ingat perjanjian kita. Saya tak akan jatuh cinta dengan Es, er... atau sesiapa saja. Walaupun syarat tu agak pelik.... Saya terima aja.

Tapi, tak patut la En. Lex kerah Es sampai macam tu sekali. Kena jadi bodyguard saya, pembantu peribadi, chauffeur (Delia ajar saya perkataan ni. Dia pandai Bahasa Perancis) saya ke sana-sini. Dalam masa yang sama, dia belajar. Tak best la, En. Lex. Saya rasa macam menyusahkan aja. Macam ni la. Saya nak jalan kaki ke kuliah nanti. Tak payah la Es nak bawa kereta tu. Susah nak parking la, En. Lex. Lagipun saya segan nak naik kereta besar macam tu. Delia pun takut. Semua orang pandang kami satu macam. Tak seronok la, En. Lex. Jadi saya akan jalan kaki dengan Delia. Es boleh tumpu pada pelajaran dia, okey?

Agak-agaknya kan... berapa ramai pelajar yang masuk di bawah skim tajaan En. Lex ni? Es kata dia bukan dalam program ni. Perjanjian dia dengan En. Lex sangat lain dari perjanjian saya dengan En. Lex. Nanti saya cuba cari pelajar yang lain. Saya nak kenal dengan mereka. En. Lex juga kata yang saya mesti aktif dan bersosial.

Wah, sekarang pun saya dah aktif. Aktif menulis. Ikut perjanjian dulu, saya hanya perlu hantar satu surat setiap minggu. Minggu ni dah dua surat saya tulis, lepas yang semalam. Harap-harap En. Lex tak terganggu dengan surat ni. Saya rasa mesti En. Lex sedang sibuk. En. Lex mesti kuat kerja, kan? Sebab tu En. Lex kaya-raya! Tapi anggap la surat saya ni macam berehat sebentar bersama KitKat. Hihi!

En. Lex, Delia tanya (saya tanya bagi pihak Delia) kenapa En. Lex baik sangat? Boleh ke En. Lex jawab? Bukan saya yang tanya.... Delia ada tanya lagi, siapa En. Lex? Mesti En. Lex dah penat dengar soalan yang saya ulang-ulang ni. Eh, Delia yang tanya. Bukan saya. Jadi En. Lex jawab la. Saya akan sampaikan pada Delia, boleh?

Okey la En. Lex. Saya nak masuk tidur. Sepanjang minggu orientasi ni, kami kena bangun awal. Banyak program nak diikuti. Delia dah lama tidur. Penat sangat. Saya pun penat. Tapi saya mesti menulis untuk En. Lex dulu. Sekarang dah siap.

Selamat malam, En. Lex. Whoever you are.... Hihi!



KIKI.

Thursday, October 15, 2009

10

Hari ini hari pertama Kiki jadi pelajar Kolej Zulkarnayn secara rasminya. Hari ini hari pertama Minggu Suai Kenal sesi pengajian yang baharu.Untuk tahun pengajian pertama Kiki.

Dan awal-awal pagi tadi Delia sudah mengejutkan Kiki. Delia mencuit hujung kaki Kiki. “Bangun, Kiki. Dah masuk Subuh.”

Geli! Tapi, “Awal lagi la, Mak Su....”

Ada bunyi ketawa kecil. “Aku bukan Mak Su, Kiki. Rasanya Mak Su dah bangun lebih awal dari kita.”

Mata Kiki masih lekat terkatup. “Kenapa suara Mak Su lain? Mak Su sakit, ya?”

“Aku Delia. Bukan Mak Su. Memanglah suaranya lain.” Delia menahan ketawa. “Bangunlah, Kiki. Hari ni kita kena siap-siap.”

Kiki masih belum membuka mata. Selimut ditarik menutup muka. Dia mengantuk. Dia penat. Dia tidur lewat malam tadi. Dia malas. Nak bersiap-siap apa? Dan dari bawah selimut, tanya Kiki, “Kiki dah habis sekolah la, Mak Su....”

“Tapi Kiki dah masuk universiti.”

“Tipu la....”

“Kiki, kita kat Kolej Zulkarnayn ni!”

Cepat-cepat Kiki bangkit. Ya, baru dia sedar sekarang. Kolej Zulkarnayn! Dia sudah jadi seorang pelajar universiti. Atau kolej. Ah, yang penting dia sudah berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajarannya. Untuk bidang penulisan kreatif. Di Kolej Zulkarnayn! “YEAHOOOO!

Terus Delia tarik Kiki. “Jom, Subuh dulu.”

***

Delia sudah siap-siap. Dia menunggu Kiki, teman biliknya yang masih terkial-kial membetulkan kain baju kurungnya. Sekejap kain itu dipusing ke kanan. Sekejap diturunkan ke bawah. Kemudian dipusing ke kanan lagi. Kemudian ke kiri pula. Delia ikut mengeleng-geleng kepala.

“Aku tak biasa la....” Kiki menyerah kalah. Yang dipakai itu tak pernah kena pada tubuh dan matanya. “Tak boleh ke aku pakai t-shirt dengan jeans aja?”

Delia ketawa kecil. Lalu dia sendiri yang membetulkan kain Kiki. Dia kemaskan butang di leher baju kurung. Terus, dia suakan Kiki untuk menyeluruhi diri di cermin. “Tengok. Kau nampak cantiklah, Kiki.”

Kiki melihat bias cermin itu. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Dia? Cantik? Tiba-tiba mukanya jadi merah. Pada cermin itu Kiki lihat Delia pun ikut tersenyum. Terus, “Kalau aku pakai tudung, mesti aku cantik juga. Macam kau. Tapi kau lagi cantik.” Kiki ketawa kecil juga. “Tapi niatnya kena betul dulu, kan?” Kiki faham sendiri.

“Betul. Betul. Betul.” Sambut Delia.

Tag nama dipakai di leher, pelengkap tanda pelajar. Kiki dan Delia sudah siap. Lalu mereka mengunci pintu bilik dan memulakan langkah. Ke Dewan Zulkarnayn.

***

Sampai di perkarangan hostel, rupa-rupanya Es sedang menunggu. Dia bersandar pada BMW 5 Series hitam itu sambil membaca akhbar. Sesekali dia meninjau kelompok-kelompok pelajar yang baru keluar dari pintu hostel. “Cik Kiki!” Cepat-cepat dia melambai untuk menangkap mata Kiki. Sempat juga dia membetulkan tali leher hitamnya selepas itu.

Kiki menarik Delia untuk ikut bersama. Sampai ke kereta, Es sudahpun menghidupkan enjinnya.

“Encik Es nak ambil surat untuk Encik Lex?” tanya Kiki. Terus dia keluarkan sekeping sampul perang dari beg. “Saya tulis surat ni semalam. Harap-harap Encik Lex boleh terimanya nanti.”

“Oh, ya.” Es menyambut.

“Maaf ya, Encik Es. Awal-awal lagi dah terpaksa menunggu, jadi posmen.”

“Saya tunggu awak, Cik Kiki.” Es menyimpan sampul surat tadi ke dalam beg bimbitnya. “Saya bukan posmen semata-mata. Saya driver awak. Saya bodyguard awak juga. Mengikut arahan Encik Lex.”

Huh?

“Jadi, masuklah.” Es membuka pintu kereta. “Kita dah lambat ni, Cik Kiki.”

“Aku jalan kaki aja, Kiki.” Delia menarik tangannya untuk lepas dari genggaman Kiki yang terpaku di situ.

“Cik Delia pun kena naik sama-sama, teman Cik Kiki.” Es buka pintu yang satu lagi.

Oh....

***

Es seorang yang sangat gentleman. Selepas parkir, dia bukakan pintu untuk Kiki dan Delia. Dia iring Kiki dan Delia ke dewan. Sepanjang jalan, Delia pandang Kiki semacam. Kiki tak ambil peduli pun. Sebenarnya Kiki belum beritahu Kiki tentang Es atau Encik Lex atau perjanjian peliknya. Dia tak tahu bagaimana untuk menerangkannya kepada Delia. Delia pun tak bertanya apa-apa. Tapi Kiki tahu, satu waktu nanti dia mesti menceritakannya kepada Delia. Mungkin bukan sekarang....

Sampai di pintu utama Dewan Zulkarnayn, Es menguak pintu untuk memberi laluan kepada Kiki dan Delia. Kemudian dia menyusul masuk juga.

Dewan Zulkarnayn sudah terisi separuh. Sesi taklimat akan bermula dalam dua puluh minit lagi. Tiga pasang mata mencari tiga tempat duduk. Seorang senior mengajak pelajar-pelajar yang baru sampai untuk memenuhi barisan hadapan. Kiki menurut saja. Dia ambil tempat di baris pertama. Yang paling depan dan dekat dengan pentas besar. Delia ikut. Dia duduk di sebelah kanan Kiki. Es pun. Dia di kerusi sebelah kiri.

Eh? Kiki pandang Es satu macam. Pelik. “Takkan Encik Es nak teman saya sampai ke dalam dewan ni? Awak tak ada kerja yang lain ke?”

Es tersenyum. Dia mengeluarkan tag nama bertali merah dari beg bimbit. Lalu dia pakai. “Saya pun pelajar kolej ni juga, Cik Kiki.”

Huh?

“Saya pun ada perjanjian dengan Encik Lex. Macam Cik Kiki.”

Delia pandang Kiki dan Es satu macam lagi. Dari semalam dia asyik dengar nama Encik Lex. Mahu sangat dia tanyakan Kiki. Tapi, tunggu dululah....

Seorang senior naik ke pentas, terus ke rostrum. Pada mikrofon yang sedia terpasang, dia berkata, “Saya Akmal. Saya Ketua Pembimbing Pelajar untuk Minggu Suai Kenal semester ni.” Suara jelas dan bergema dengan karisma. Memang tokoh! Kiki jadi terlalu kagum.

Sambungnya lagi, “Saya nak minta salah seorang dari adik-adik junior kita jadi pembaca ikrar. Kita akan mulakan majlis sekejap aja lagi. Ada sesiapa nak dipaksarela?”

Tak payah disuruh-suruh atau dipaksa pun. Kiki rela. Terus dia angkat tangan tinggi-tinggi, penuh semangat. “Saya nak!”

Tak payah dijemput pun. Kiki terus naik ke pentas. Ke rostrum. Dan di depannya terbentang skrip ikrar. Di depannya juga, satu-persatu pelajar bangun dari duduk masing-masing. Yang pertama, Delia dan Es, serentak. Langsung merebak ke seluruh isi dewan. “Up!” Kiki angkat tangan separas telinga. Dengan penuh semangat dia melontarkan vokal ikut baris-baris ikrar itu.


Bahawasanya, kami, pelajar Kolej Zulkarnayn, berikrar,

akan berusaha, menuntut ilmu sebaik-baiknya,

mengamalkan ilmu semulia-mulianya,

menyebarkan ilmu seluas-luasnya,

dan, menjunjung ilmu setinggi-tingginya,

demi agama, keluarga, bangsa dan negara.


Down!” Kata Kiki usai ikrar dilaungkan. Dan tepukan yang sangat gemuruh memecah sunyi dewan.

Akmal si senior mendapatkan semula mikrofon. Dia senyum kepada Kiki. Terus, “Saudari, lepas ni kita ulang ya? Kekalkan semangat tu. Sebab majlis tak mula lagi....”

Ooppss....

Wednesday, October 14, 2009

9

Delia sedang tidur. Nyenyak. Ombak dadanya berkadaran dengan hembus nafas tenangnya. Delia sudah jauh dari pelabuhan jaga, lepas ke laut mimpi. Ah, syahdunya!

Tapi Kiki jadi cemburu sebenarnya. Dia belum dapat melelapkan mata. Sudah jam satu pagi pun! Dia masih di meja tulis, di kaki katil. Kertas putih bergaris biru terbentang di depan. Ada sebatang pen fountain di tangannya. Pen itu hadiah dari Encik Lex. Pen dengan badan stainless steel bentuk bulu burung. Macam pen celup dakwat zaman dulu-dulu.

Pen itu sangat mahal, tentunya. Kiki tahu. Dan dengan pen itulah dia harus menulis surat untuk Encik Lex. Es kata Encik Lex yang kata begitu. Bahawa Kiki mesti kirim surat pertama untuk Encik Lex, ditulis hanya menggunakan pen itu. Setiap kalinya. Setiap surat.

Tapi, menulis apa?

Bagaimana untuk menulis untuk Encik Lex?

Sedang Kiki tahu yang suratnya nanti tak akan dibalas. Begitu kata Es yang menurut kata Encik Lex.

Encik Lex. Encik Lex. Encik Lex.

Siapa sebenarnya Encik Lex? Ingin sekali Kiki bertanya itu. Namun dia sedar yang dia tak akan dapat jawapan itu lewat surat-surat yang dikirimnya nanti. Surat-surat untuk seorang lelaki yang dia tak kenal. Surat-surat tanpa balasan.

Lalu, bagaimana harus Kiki menulis?

Kiki melepaskan nafas panjang. Dia bangun dari meja tulis dan melangkah ke jendela. Dia bawa kertas tulis dan pen bersama-sama. Di tepi jendela, Kiki melabuh badan di atas sofa dua tempat duduk. Kiki buka jendela. Hawa awal pagi menerpa malu-malu ke mukanya. Sekali lagi Kiki melepaskan nafas. Bersamanya dia tebar pandangan ke luar jendela.

Dari bilik di tingkat lima itu, mata Kiki menjelajah segenap ruang yang terlihat olehnya. Yang terbentang di hadapannya. Kolej Zulkarnayn.

Kiki memetakan isi kolej itu. Dari pintu gerbang, jalannya lurus terus ke perkarangan kolej. Di situ tegaknya bangunan tiga tingkat dengan senibina Inggeris era Victorian. Blok bangunan warna putih itu dipanggil (dengan seringkas-ringkasnya) sebagai Rumah Putih. Itu kata Es. Rumah Putih itulah bangunan pentadbiran Kolej Zulkarnayn. Dan situlah Kiki mendaftar diri untuk semester pertamanya tadi. Semuanya diuruskan oleh Es.

Dari Rumah Putih, usai urusan daftar, Es bawa Kiki dan Mak Su ke hostel penginapan. Mereka menyusuri sebuah tasik buatan di belakang Rumah Putih. Di tengah-tengah tasik itu ada sebuah pulau kecil. Dan di atas pulau itu ada sepohon beringin. Itu Tasik Oculus, kata Es. Tasik Bulat, kata Kiki pula. Sebab tasik itu memang bulat. Senang cerita, kata Kiki lagi.

Di sekeliling tasik berdirinya bangunan-bangunan kolej yang lain. Di seberang utara, Rumah Putih. Di seberang selatan ada kelompok bangunan akademik – Dewan Kuliah Utama, Bangunan Kuliah Satu – Lima, blok-blok sekolah pengajian, Perpustakaan Tunku Zaharah, blok-blok bilik tutorial dan Panggung Seni. Masjid Zulkarnayn tersergam dan menganjur ke kaki Tasik Bulat.

Di hujung barat tasik, ada sepuluh blok hostel lelaki. Semuanya lima tingkat. Sepuluh lagi blok hostel perempuan ada di seberang timur Tasik Bulat, di atas Bukit Kayangan. Bukit Kayangan namanya, sebab di situlah ‘bidadari-bidadari’ kolej bersemayam, kata Es.

Dan situlah Kiki akan tinggal selama tiga tahun pengajiannya. Di Blok Khatijah, blok yang menghadap ke Tasik Bulat. Di tingkat lima yang paling atas. Seorang.

Sebelum adanya Delia.

Kiki kembali kepada teman biliknya yang masih nyenyak itu. Delia berkalih tidur. Lena lagi. Tapi Kiki masih segar-bugar. Di tepi jendela, atas sofa. Sambil pandangannya lepas ke Tasik Bulat tanpa apa-apa pun yang dapat dilihat dengan jelas. Gelap! Di tangannya masih ada pen dan lembaran surat kosong.

Dia bertanya diri lagi: bagaimana menulis untuk Encik Lex? Bagaimana caranya menulis untuk seorang yang aku tak kenal?

Teman biliknya berkalih tidur lagi. Delia. Kiki tersenyum. Lalu,

Salam En. Lex,

Nama saya Kiki. En. Lex dah tahu tu, rasanya. Ini surat saya yang pertama untuk En. Lex yang saya tak kenal langsung. Itu pun En. Lex dah tahu sepatutnya. Saya tak tahu nak tulis apa sebenarnya. Ini hari pertama saya di Kolej Zulkarnayn. Tak perlu rasanya saya ceritakan fasal kolej ni pada En. Lex. Kolej ni En. Lex yang punya! En. Lex dah tahu segala-galanya fasal Kolej Zulkarnayn.

Tapi ada satu hal yang En. Lex tak tahu. Fasal Delia. Siapa Delia? Saya tak main-main rahsia macam En. Lex. Di sini saya nak beritahu yang Delia tu roommate saya.

Ya. Saya tahu yang Es kata yang En. Lex sediakan bilik ni untuk saya seorang aja. Waktu Es bawa saya dan Mak Su ke bilik ni tadi, saya pelik. Kenapa katilnya sebuah aja? Meja belajar pun sebuah. Almari pun sebuah. Saya sempat tengok-tengok bilik yang lain. Semuanya ada dua, berpasangan. Maksudnya semua pelajar yang lain tinggal dengan roommate masing-masing. Kenapa saya seorang saja? Tak adil! En. Lex, saya tak biasa duduk seorang diri. Kalau di rumah dulu, saya sebilik dengan Mak Su. Saya takut duduk seorang! Sunyi la. Es kata En. Lex kata yang bilik ni saya seorang yang punya. Tapi En. Lex tak kata pun yang saya tak boleh ada roommate, kan?

Sekarang saya ada roommate.

Macam mana Delia boleh jadi roommate saya? Ceritanya, petang tadi sebelum hantar Mak Su pulang, Es bawa kami jalan-jalan keliling kolej. Dia tunjukkan kami semua tempat-tempat di kolej ni. Kolej En. Lex ni memang cantik. Saya suka. Saya paling suka pulau di tengah-tengah Tasik Bulat a.k.a Tasik Oculus. Sayangnya, tak ada cara untuk saya ke tengah-tengah sana. Buat apa ada tasik kalau kita tak dibenarkan berenang? Buat apa ada tasik kalau tak ada bot untuk menyeberanginya?

En. Lex sepatutnya sediakan bot untuk kami, pelajar-pelajar kolej ni beriadah secara sihat di tasik tu. Baru la best!

Eh, dah merepek dah ni. Kembali kepada cerita Delia. Saya jumpa Delia di taman tepi tasik. Delia ni cantik sangat, En. Lex. Dia pakai tudung. Dia sebaya dengan saya. Muka dia cerah. Mata dia bulat. Cantik sangat. Tenang aja. Tapi, masa saya jumpa Delia, dia menangis. Saya tanya kenapa. Dia kata yang violin kesayangan dia dah rosak. Violin tu hadiah arwah bapa dia. Saya tanya lagi macam mana violin tu boleh rosak? Dia kata ada orang campakkan violin tu ke luar tingkap bilik dia masa dia ke keluar makan. Dia tak tahu siapa. Dia tak mahu tuduh siapa-siapa. Barang-barang dia pun kena selongkar. Dia takut. Dia tak mahu duduk di bilik dia. Dia lari la. Sekarang dia tak ada bilik. Jadi saya cakap yang bilik saya masih kosong. Saya cakap, Delia boleh jadi roommate saya. Boleh kan, En. Lex?

Es kata saya tak boleh buat macam tu. Dia kata En. Lex mesti tak suka. Tapi tak kan saya nak biar Delia macam tu aja? Saya ajak Delia balik ke bilik dia dan bungkus semua barang. Dia mesti jadi roommate saya. Di bilik Delia tu, roommate Delia pandang kami semacam aja. Kata Delia, nama roommate dia tu Aziah. Tapi tak kisah la. Dia dah jadi ex-roommate Delia. Delia roommate saya.

Es bersusah-payah bawa naik katil untuk Delia. Berpeluh-peluh dia tadi. Lepas tu dia bawa almari pula. Kuat betul Es tu! Dia buat sendiri, semuanya. Penat betul dia. Lepas tu dia habiskan semua mihun goreng yang Mak Su buat bekal untuk saya. Tak apa la. Saya tak kisah. Es dah banyak tolong kami. Dia kata dia tak kan beritahu fasal Delia pada En. Lex. Dia tak mahu En. Lex marah dia. Tapi saya rasa tak best. Di sini, saya mahu terangkan yang Delia jadi roomate saya sebab saya sendiri yang mahu. Es tak ada kena-mengena langsung. En. Lex jangan marah Es. Saya juga mesti menegaskan yang Es seorang pekerja yang best. Es sangat baik. Jangan marah Es, okey?

En. Lex pun sebenarnya tak boleh nak marah saya. Tak ada caranya sebab yang tulis surat ni hanya saya, kepada En. Lex. Saya tak akan dapat apa-apa balasan. Jadi macam mana En. Lex nak marah saya, kan?

Okey la, En. Lex. Saya dah mengantuk ni. Sekarang saya dah boleh tidur. Harap-harap En. Lex puas hati dengan surat ni. Mungkin lebih mudah saya menulis kalau En. Lex sediakan formatnya. Banyak betul permintaan saya. En. Lex dah banyak tolong saya. Saya nak minta lebih-lebih lagi. Maafkan saya, En. Lex.

Tuhan saja yang tahu siapa En. Lex. Dia saja yang boleh balas kebaikan En. Lex pada saya, siapa-siapa pun En. Lex nanti.

Nanti saya tulis lagi. Insya-Allah.

KIKI.

Tuesday, October 6, 2009

8

“Takkanlah kita pergi berlenggang macam ni aja, Encik Es?” Mak Su tanya lagi sebelum mengunci pintu rumah. Dia membetulkan tudung. Langsung Mak Su memakai selipar dan turun ke laman. Mak Su juga bawa beg duit dan mihun goreng buat bekal. Itu saja. Kiki pun sekadar berbaju kurung putih, kain hitam. Rambut ditocang dua. Dia bawa juga beg sekolah lamanya. Itu saja.

“Saya dah cakap tadi yang semuanya Encik Lex dah sediakan awal-awal lagi.” Es bangun dari duduk di tangga. Tadi dia sedang memakai kasut. Lagi, “Cik Kiki hanya perlu bawa badan aja. Belajar di Kolej Zulkarnayn. Itu saja.” Kemudian Es melangkah ke BWM 5 Series yang parkir di tengah laman rumah.

“Takkan saya kena pakai baju kurung ni?” Untuk kesekian kali Kiki tanya itu lagi. Baju kurung itu hadiah dari Encik Lex. Sama macam kebaya panjang warna hijau yang Mak Su pakai. Encik Lex yang suruh mereka pakai, kata Es tadi. Dan elok saja muatnya. Macam Encik Lex tahu-tahu saiz mereka berdua. Tapi, “Saya tak biasalah, Encik Es.” Sekali lagi Kiki membetulkan letak bahu kurung itu.

“Encik Lex suka kalau awak pakai baju kurung, Cik Kiki.” Es meletakkan kaca mata hitam ke atas batang hidung. Matanya selindung. “Awak nampak cantik. Macam perempuan.”

Huh?

Lalu Es buka pintu untuk Kiki masuk. Katanya lagi, “Cik Kiki dan Mak Su duduk di belakang, ya. We’re going to Kolej Zulkarnayn. And I’m your guide today.

***

Kerusi duduk di dalam BMW 5 Series itu kulit asli buatannya. Sangat empuk. Sangat selesa. Tambah lagi penghawa dinginnya. Sangat nyaman. Terbuai-buai Kiki. Hampir-hampir dia terlena, bersandar pada Mak Su. Sangat menyenangkan.

“Encik Es ni siapa?” Mak Su bertanya, tiba-tiba. Kiranya baru lima belas minit mereka di jalan raya. Dan sebelum itu Mak Su senyap saja. “Saya tahu yang kami tak boleh tanya apa-apa fasal Encik Lex.... Tapi sekurang-kurangnya, Encik Es boleh kenalkan diri Encik Es, kan?”

“Encik Lex kata saya tak boleh cakap lebih-lebih, Mak Su.”

“Oh....”

“Encik Lex tak perlu tahu, kan?” Kiki mencelah pula. Dia tak jadi tidur.

“Um, agaknya....” Tersenyum saja Es. Lalu, “Apa yang Cik Kiki nak tahu?” Es melepaskan deham. “Maksud saya, tentang diri saya? Bukan Encik Lex, ya....”

“Encik Es dengan Encik Lex ni... apa hubungannya?” Mak Su tanya.

“Saya pekerja biasa aja.... Kerja dengan Encik Lex.”

“Umur awak?”

“Lapan tahun bezanya dengan awak, Cik Kiki. Saya dah 25 tahun.”

“Encik Lex?”

“Dia...” Es berhenti di situ. Dia belok untuk masuk jalan di kanan. Dan terus memandu. Tiada jawapan untuk Kiki lagi. “I’m won’t fall for that, Cik Kiki.

Tersengih saja Kiki. Terus, “Pisang goreng, keledek goreng dan cempedak goreng yang Encik Es beli dulu tu memang untuk dimakan.... Atau alasan aja... as you were spying on me?

Mak Su menjeling pada Kiki. Tapi kemudian dia senyum saja. Tanya Mak Su lagi, “Siapa sebenarnya awak, Encik Es?”

Es nampak tersenyum dari bias cermin pandang belakang. Dan jawabnya, “Saya pembantu peribadi untuk Cik Kiki.”

Huh?

“Itu saja yang Encik Lex benarkan saya beritahu.” Es meneruskan pemanduannya. Folus pada jalan di hadapan. “Belum sampai masanya, Mak Su, Cik Kiki... kata Encik Lex.”

Senyap sekejap.

Sambung Es lagi, “Encik Lex memang suka sangat pisang goreng, cempedak goreng dengan keledek goreng.”

***

Perjalanannya panjang. Dari rumah Mak Su ke Kolej Zulkarnayn. Entah berapa lamanya, sebelum BWM 5 Series hitam itu menyusur kawasan padang hijau yang menggulung. Jalan yang mereka lalui itu berpagar pohon-pohon rendang. Kemudian pohon-pohon rendang itu berganti dengan dinding batu bercat putih dan bertatah besi berukir di atasnya.

Kiki rasa Kolej Zulkarnayn terletak agak jauh dari jalan utama. Waktu dia terjaga tadi, tiada satu kenderaan lain pun yang dia dapat lihat. Entah berapa lama dia terlelap. Mak Su pun masih tertidur.

“Cik Kiki, kita dah nak sampai.” Es memberitahu. Dia menghantar senyum ikut cermin pandang belakang kepada Kiki.

Dan BMW Series itu berhenti di hadapan sebuah pintu gerbang besi. Motif ukir besinya berbetuk sebuah buku yang terbuka. Ada anagram dari huruf K dan Z pada muka buku itu, bersepuh cat emas. Pintu gerbang itu terbuka, perlahan-lahan. Sepertinya sebuah buku yang sedia terhampar itu dibaca.

“Selamat datang ke Kolej Zulkarnayn, Cik Kiki.”

Wednesday, September 30, 2009

7

Hari ini hari kelapan. Dan Kiki sudah nekad. Kolej Zulkarnayn? USM? Dua-dua pun dia tak mahu. Mak Su tak sihat, kan? Siapa lagi yang akan jaga Mak Su kalau dia sambung belajar? Tapi,

“Betul ke keputusan Kiki ni?” tanya Mak Su, perlahan. Demamnya sudah kebah. Mak Su masih lemah. Namun dia paksa juga diri untuk bangun dan siapkan sarapan. Menunya mihun goreng dan teh panas, terhidang panas-panas di meja dapur. Tanya Mak Su lagi, “Kiki dah fikir masak-masak?”

“Kiki tak dapat fikir yang lain lagi Mak Su,” jawab Kiki. Dia ceduk mihun ke pinggan, untuk Mak Su. Terus, “Kiki risaukan Mak Su.”

“Mak Su dah sihat pun....” Lalu dia menyuap mihun ke mulut. Sungguh dia tak punya selera. Tapi demi menunjukkan dia sudah sihat, Mak Su telan saja. Tak rasa apa-apa pun. Mak Su suap lagi. Berselera sekali, kononnya.

“Mak Su tipulah!”

Mak Su tak jadi menyuap. Tinggal separuh pinggan lagi. Langsung dia menolak pinggan ke sisi. Mak Su menyeluruhi wajah Kiki. Katanya, “Kiki pun nak tipu diri Kiki sendiri, kan?”

Kiki diam.

“Kiki memang nak sambung belajar, kan?”

Kiki tunduk, diam lagi.

“Tapi Mak Su ni dah jadi macam penghalang, kan?”

“Tak...” jawab Kiki, terus.

“Mak Su ni membebankan aja, kan?”

“Kiki tak pernah anggap macam tu....”

“Habis tu, Kiki sambung belajar ajalah.”

“Kiki tak nak jauh-jauh dari Mak Su....” Dan tiba-tiba air mata jatuh dari tebing matanya. Kiki cuba menahan. Bertambah laju pula!

“Kiki....” Mak Su mendapatkan Kiki dan memeluknya. Kata-kata tadi agak kasar bunyinya. Mak Su tahu Kiki terasa hati. Terus, “Mak Su minta maaf.”
Kiki cium tangan Mak Su. Katanya, “Kiki yang salah. Kiki dah kecewakan Mak Su. SPM tak bagus. Dapat tawaran masuk universiti pun, Kiki tak pergi.... Kiki yang mesti minta maaf pada Mak Su.”

“Okey. Memang Kiki salah. Mak Su akan maafkan Kiki kalau Kiki terima tawaran sambung belajar tu,” kata Mak Su.

Tapi, “USM jauh sangat.... Lagipun course tu Kiki tak minat sangat.”

“Kolej Zulkarnayn?”

“Kiki belum beri jawapan.” Walaupun jawapannya ‘ya’. Sebab Kiki memang mahu ikut kursus Penulisan Kreatif itu. Tapi, “Tarikh akhir nak reply... semalam.”

Ada bunyi hon di laman rumah. Kiki dan Mak Su saling bertukar pandang. Mak Su jungkit kepala. Siapa? Kiki angkat bahu. Tak tahu. Ada salam di luar pintu. Langsung mereka berdua ke ruang depan rumah. Mak Su ambil tudung. Sempat Kiki menjenguk ikut tingkap.

Eh? Ada kereta hitam. BMW 5 Series.

Dan Mak Su menjawab salam. Dia membuka pintu.

Lelaki itu. Dengan kemeja dan slack dan kasut kulit serba hitam. Rambut sisir ke tepi. Dengan anak mata hitam pekat. Lelaki itu. Lelaki yang kata cinta itu macam strawberi.

Whoa....

***

“Nama saya Eskandar. Panggil aja Es.” Lelaki itu memulakan bicara. Dia menyambut cawan teh yang dihulurkan Mak Su. Dia mencicip sedikit, sekadar rasa. Dai tersenyum. Teh itu memang kena dengan seleranya. Sambung lagi, “Saya datang ke mari sebab Encik Lex yang suruh... untuk jemput Cik Kiki....”

“Jemput Kiki... ke mana?” Mak Su tanya.

“Siapa Encik Lex?” Kiki pula menambah tanya. Dan, “Kenapa encik panggil saya Kiki?”

“Oh?” Es cepat-cepat mengeluarkan sekeping surat dari fail yang dibawanya (pun hitam). Terus, “Err, hari tu saya ada datang beli pisang goreng.... Saya dengar Mak Su panggil awak, Kiki....” Itu jawapan soalan tiga. Dan, “Cik Kiki dapat tawaran ke Kolej Zulkarnayn... ikut surat tawaran ni....” Itu untuk soalan satu, bersama bukti hitam-putihnya. Dan, “Encik Lex yang pilih Kiki, personally, untuk masuk ke Kolej Zulkarnayn.” Itu jawab Es untuk soalan dua.

Tapi Kiki tanya lagi, “Encik Lex tu siapa?”

“Encik Lex tuan punya Kolej Zulkarnayn.”

Huh?

“Encik Es, kami tak kenal Encik Lex.” Mak Su mencelah. Lagi, “Kiki pun sendiri cakap, yang dia tak pernah mohon ke Kolej Zulkarnayn. Maaf, bukan saya nak syak yang bukan-bukan. Tapi... tak ke pelik tu?”

Es tersenyum saja. Dia minum lagi teh. Mak Su dan Kiki tunggu. Kemudian, “Mak Su, Cik Kiki... biar saya terangkan. Begini, tiap-tiap tahun, Kolej Zulkarnayn akan keluarkan geran terhad untuk mengambil dan membiayai pelajar-pelajar baharu. That is through Yayasan Zulkarnayn... macam dalam surat tawaran Cik Kiki tu. Siapa yang layak? Encik Lex yang pilih dan tentukan. Macam mana? Dalam kes Cik Kiki, dia pernah baca cerpen yang Kiki tulis dalam majalah Tulis-tulis. Dia baca Cerpen Yang Takkan Siap. He was your potential, Kiki. Jadi Encik Lex minta saya jejaki penulisnya, iaitu Cik Kiki. Dia minta saya uruskan pengajian Cik Kiki di Kolej Zulkarnayn. So, here I am. Dan soalan saya pula, untuk Cik Kiki.... Awak terima atau tak?”

“Saya rasa....”

“Ya....” Es menekan jawapan itu. “Atau tidak?”

“Apa terms and conditionsnya, Encik Es?” tanya Kiki pula. “This is surely not out of charity.... Maaf kalau saya cakap macam tu.... Tapi mesti ada udang di sebalik batunya, kan?”

“Er, memang begitu... Cik Kiki.” Lalu Es keluarkan sekeping lagi surat. “Ini perjanjiannya. Dan biar saya terangkan. Kalau Cik Kiki terima tawaran Encik Lex, maksud saya, untuk ke Kolej Zulkarnayn... syarat-syaratnya, paling utama, jangan pernah tanya siapa Encik Lex sebenarnya. He wants to remain anonymous. Dia cakap, tiada kata nama lain untuk keikhlasan kecuali ikhlas itu sendiri. Dan dia memang ikhlas nak tolong Cik Kiki. Kedua, Cik Kiki mesti habiskan pengajian tiga tahun di Kolej Zulkarnayn untuk Ijazah Penulisan Kreatif. Cik Kiki mesti dapatkan Ijazah Kelas Pertama. Mesti. Ketiga, Cik Kiki akan tinggal di hostel yang disediakan selama tiga tahun itu. Sebabnya, Encik Lex nak Cik Kiki aktif, berinteraksi dan bersosial, terlibat dengan aktiviti kolej, jadi all-rounded graduate, tak terperuk kat bilik aja. Keempat, Cik Kiki akan terima elaun peribadi sebanyak RM500 setiap minggu, sepanjang tiga tahun itu. Biasiswa Yayasan Zulkarnayn hanya untuk tujuan pengajian. Kelima, Cik Kiki tak boleh jatuh cinta.”

Huh?

Es diam, menanti reaksi Kiki. Kemudian, “Untuk semua ni, Cik Kiki hanya perlu balas dengan menulis surat untuk Encik Lex, setiap minggu dan ceritakan tentang kehidupan Cik Kiki. Encik Lex suka tulisan Cik Kiki. Itu saja.” Lalu Es menolak surat perjanjian itu kepada Kiki. “Cik Kiki terima, ya?”

Huh?

Semuanya terlalu surreal untuk Kiki. Tapi kemudiannya dia sedar semula. Kiki tanya pada Mak Su, “Macam mana?”

Jawab Mak Su, “Kiki yang nak belajar, kan?”

Kiki angguk.

“Paling penting, apa jawab hati Kiki sendiri?”

Kiki diam. Lama. Dia merenung wajah Mak Su dengan senyuman yang pasti. Dia meneliti lagi surat perjanjian itu. Dan dia menulis:

6. Saya tolak syarat no. 4. Jangan beri saya elaun. Saya mahu kerja di BUKS waktu tak ada kelas/cuti.

7. Saya tak boleh jatuh cinta? Dengan siapa? Tak kisahlah....

8. Encik Lex mesti tunjukkan diri pada saya bila saya terima ijazah saya nanti. Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Kelas Pertama. Insya-Allah.


Dan, Kiki tandatangan surat itu. Katanya, “Saya terima.”

Es meneliti semula perjanjian itu. Air mukanya sedikit berkocak. Kemudian tenang semula. Dan dia senyum. “Err... okey. Saya rasa Encik Lex boleh terima juga, kut?”

Saturday, September 26, 2009

6

Kiki ada tujuh hari untuk buat keputusan. Mahu terima tawaran ke Kolej Zulkarnayn atau tunggu yang lain?

Hari 1.

Mak Su kata keputusannya di tangan Kiki. Mak Su juga nasihatkan Kiki supaya tanya orang yang arif. Yang pernah masuk universiti. Jadi Kiki tanya Store Managernya di BUKS®. Kiki tanya KĂ©ri.

“Kolej Zulkarnayn?” tanya KĂ©ri pula.

Kiki angguk.

“Kiki tak tahu ke yang saya pernah belajar kat situ?”

Kiki geleng. Tanyanya, “Best ke kolej tu, Encik KĂ©ri?”

“Saya best tak?” KĂ©ri tanya balik.

Encik Kéri is the best manager!

“Eh, gurau aja la....” Tapi kembang juga hidung KĂ©ri. Terus, “Dulu saya terpaksa apply untuk ke kolej tu. They have the best business course there. Susah nak masuk. Tapi kes awak ni lain sikit la....”

“Lain macam mana, Encik KĂ©ri?” Kiki rasa pelik.

“Awak tak apply pun. Awak terus ditawarkan tempat di situ, Kiki. Awak dapat course yang memang awak mahu, right?

Kiki angguk.

KĂ©ri meneliti semula surat tawaran yang Kiki tunjukkan awal-awal tadi. Dan, “Surat ni lain dari surat tawaran yang saya terima dulu. Mine was computer generated. Yang awak dapat ni lebih personalised. Lagipun....” Mata KĂ©ri kembali kepada Kiki.

Kiki tunggu.

Tapi KĂ©ri senyum saja. Dia tak menyambung apa-apa lagi. Kemudian, “Awak terima aja, Kiki.”

“Macam tu aja?” Bertambah pelik rasanya pada Kiki.

Yes. In fact, saya akan berhentikan Kiki kerja hari ni juga supaya Kiki boleh masuk Kolej Zulkarnayn.” Muktamad dari KĂ©ri.

Kiki tak boleh buat atau fikir apa-apa lagi.

Hari 2.

Kiki masih sedih sebab dia sudah diberhentikan dari BUKS®. Nampak gayanya memang dia akan ke Kolej Zulkarnayn.

Hari 3.

Kiki dapat surat tawaran ke USM. Kursusnya dalam bidang Komunikasi Massa. Kiki ada pilihan selain Kolej Zulkarnayn. Ikut borang UPU dulu, USM pilihan nombor empat Kiki.

USM jauh ke utara sana....

Kiki masih menimbangkan.

Hari 4.

Kolej Zulkarnayn? USM? Atau tak payah sambung belajar langsung? Sebab Kiki lihat Mak Su tak berapa sihat kebelakangan ini.

Pro atau kontra, Kiki masih memikirkan.

Hari 5.

Kiki tolong Mak Su di gerai. Dia belum dapat buat pilihan. Kolej Zulkarnayn? USM? Dan Mak Su pesan supaya malam itu dia buat solat istikharah untuk diberi petunjuk. Setiap satu pilihan itu ada baik dan buruknya, hikmah dan dugaannya. Hanya Allah yang tahu. Allah juga yang menentukan. Kiki mesti pilih salah satu, kata Mak Su.

Kiki mohon untuk jalan yang terbaik.

Hari 6.

Kolej Zulkarnayn. USM. Kiki belum dapat membulatkan nekadnya. Mak Su sakit lagi. Kolej Zulkarnayn. USM. Mak Su.

Hari 7.

Mak Su sakit teruk. Mak Su tak bangun pun waktu Subuh tadi. Nasib baik Pak Man yang tinggal di seberang jalan ada di rumah. Pak Man yang bawa Mak Su ke klinik. Doktor kata, punca sakit Mak Su sebabnya dia tak habiskan antibiotik yang diberi dulu. Doktor ingatkan Kiki supaya tengok-tengokkan Mak Su. Kiki harus pastikan Mak Su makan ubat dan habiskan antibiotik.

Kemudian Mak Su sedar. Dia tanya Kiki, “Dah kemas barang?”

“Kiki nak jaga Mak Su. Kiki tak nak sambung belajar....”

Friday, September 11, 2009

5

KOLEJ ZULKARNAYN

Wisma Zulkarnayn

Off Jalan Biasa

Damansara Heights Tel: 03-20987384/20987385

50490 KUALA LUMPUR Faks: 03-20949909/20949910



NORA ASYKIN BINTI ABU ZAIN

NO 5 KG UJUNG

SETAPAK DUA

52170 KUALA LUMPUR

SURAT TAWARAN KEMASUKAN KE KOLEJ ZULKARNAYN


Sukacita dimaklumkan bahawa saudari adalah ditawarkan kemasukan ke Kolej Zulkarnayn seperti berikut:

(i) INSTITUSI: KOLEJ ZULKARNAYN

(ii) JURUSAN: SASTERA

(iii) SEKOLAH: SENI

(iv) KURSUS: IJAZAH SARJANA MUDA PENULISAN KREATIF

(v) PERINGKAT: IJAZAH PERTAMA SEPENUH MASA

(vi) TEMPOH: TIGA (3) TAHUN

(vii) PINJAMAN/BIASISWA: BIASISWA YAYASAN ZULKARNAYN



2. Saudari dikehendaki melaporkan diri dalam masa tujuh (7) hari selepas menerima surat ini. Pengangkutan dan penginapan telah disediakan bagi kemudahan pihak saudari.



3. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada En. Eskandar Ellias Zulkarnayn di 03-20982010.



Sekian, terima kasih.




“ILMU DISANJUNG TINGGI”



Saya yang menurut perintah,

Wan Yusoff

(WAN YUSOFF WAN ALI)



***


Kiki termanggu seorang diri. Surat itu masih di tangannya. Dia sudah diterima masuk ke Kolej Zulkarnayn!

Tapi....

“Bila pula aku apply untuk ke kolej ni?”

Wednesday, September 9, 2009

4

“Kalau bercinta rasanya macam makan sejenis buah.... Pada Mak Su, apa jenis buahnya?” Kiki tanya soalan pelik lagi. Tadi elok saja dia membaca di atas pangkin sana. Sekarang dia mahu mengusik Mak Su pula. Bosan agaknya. Hari ini Kiki cuti. Buku yang mula dibaca sejak pagi tadi pun sudah dihabiskannya. Sempat Mak Su mengerling ke kulit buku itu. How To Make Anybody Fall in Love With You in 90 Minutes or Less. Boleh pula begitu? Mak Su geleng kepala sendiri untuk jawab soalannya sendiri. Dan untuk Kiki, “Entahlah.... Mak Su tak tahu.”

“Tak kan Mak Su tak pernah bercinta kot?”

“Tak,” jawab Mak Su.

“Cinta monyet?”

“Tak pernah,” jawab Mak Su lagi.

Puppy love?

“Bukan tu sama dengan cinta monyet ke, Kiki?” Mak Su tanya pula. Tapi jawabnya juga, “Tak pernah.”

“Kalau dicintai?”

“Macam mana rasanya tu?” Mak Su menimbang. Soal Kiki tadi, kalau bercinta boleh diibaratkan seperti makan sejenis buah.... Itu kalau bercinta. Kalau dicintai? Maka soalannya akan jadi, kalau dicintai ibarat dimakan sejenis buah, kan?

“Bertepuk sebelah tangan?” Kiki tanya lagi.

Mak Su senyap, tak menjawab. Atau mungkin sedang memikirkan itu. Bertepuk sebelah tangan.... “Rasanya macam macam cempedak goreng.” Begitu jawab Mak Su. Sambil itu dia mengangkat cempedak goreng dari kuali.

“Kenapa macam tu?” tanya Kiki pula.

“Kalau kita makan cempedak goreng, selalunya ada biji, kan? Samalah macam cinta yang bertepuk sebelah tangan. Memanglah seronok melayan rasa tu. Tapi bila kita dah tergigit biji cempedak tu... bila kita sedar yang rasa tu tak kesampaian..... Takkan kita nak telan biji tu sekali?”

Mak Su sekadar bertanya tanpa mahu jawapan. Terus, “Kadang-kadang, kita akan dapat cempedak goreng yang tak ada biji. Kita boleh makan sehabisnya, kan? Mak Su ibaratkan itu macam cinta yang kononnya bertepuk sebelah tangan, tapi sebenarnya berbalas. Tapi jarang-jarang macam tu.... Selalunya kita akan tergigit biji cempedak tu... dan tak boleh makan lagi.”

“Mak Su ni jiwang juga, rupanya....” Kiki mengusik.

“Eh, tak adalah!” Merah pula muka Mak Su. Terus dia ketawa saja.

Dan waktu itu, sebuah BMW 5 Series dipandu melepasi gerai Mak Su. Kemudian ia diperlahankan, langsung berundur ke belakang. Kereta warna hitam itu berhenti di hapadan gerai.

Whoaa....” Hampir-hampir ternganga mulut Kiki.

Dari tempat pemandu, seorang lelaki keluar. Dia berbaju-T v-neck warna hitam dengan jeans hitam juga. Dia melangkah ke arah gerai. Rambutnya pacak-pacak. Semakin dekat. Semakin jelas wajahnya yang bersih itu. Dia menanggalkan kaca mata hitamnya. Dan warna anak matanya hitam pekat.

Whoaa.... Kiki mengulang itu dalam hati pula. Tall, dark and handsome....

Dia tersenyum.

“Kalau bercinta tu macam makan buah, buah apa agaknya?” Terus saja Kiki bertanya itu. Ooopss!

Lelaki itu memandang Kiki satu macam. Terkejut. Tapi dia masih tersenyum.

“Ya, nak apa, encik?” Mak Su cepat-cepat mencelah. Dia siap-siap menyambar penyepit, menunggu pesan dari lelaki itu. Sempat juga Mak Su menjeling kepada Kiki yang masih tercegat di sisinya. Mak Su menyiku Kiki. Kiki tersentak. Terus dia lari ke belakang gerai. Kemudian, “Ada cempedak goreng, pisang, ubi tumbuk. Keropok lekor baru nak goreng. Jemput pisang? Nak keledek?”

Lelaki itu tersenyum lagi. Dia menyeluruhi jualan yang terhidang. Semuanya panas-panas lagi. Terangkat selera minum petang! Lalu, katanya, “Saya nak pisang goreng, lima ringgit. Kasi keledek goreng, lima ringgit. Cempedak goreng pun, lima ringgit.”

“Er, Kiki! Bawa keluar plastik yang besar....” Mak Su memanggil Kiki di belakang. Tangannya cekap mengambil empat keping pisang dan keledek dan cempedak untuk setiap satu ringgit, dan dimasukkan ke dalam plastik pembungkus. Tapi plastiknya tak cukup besar.

“Tak ada yang besar lagi, Mak Su.” Perlahan saja jawab Kiki. Malunya pada lelaki itu masih terkesan. Kiki berdiri di belakang Mak Su.

“Maaf ya, encik.”

“Tak apa, kak. Saya boleh bawa macam tu aja.” Lelaki itu menyambut enam bungkus yang dipesannya dari Mak Su. Dia hulurkan lima belas ringgit kepada Mak Su.

“Jual, ya, encik.”

“Saya beli, kak.” Lelaki itu melengkapkan akad niaga dari Mak Su. Dia tersenyum. Kepada Mak Su. Dan untuk Kiki di belakang.

Kiki tunduk malu lagi.

“Pada saya, bercinta tu macam makan strawberi.”

Eh? Terus Kiki mengangkat wajah. Dan matanya bertemu pandang dengan lelaki itu. Tapi anak mata hitam pekat lelaki itu sudah sembunyi di balik kaca matanya.

“Orang kata strawberi tu sedap. Tapi ada strawberi yang manis dan ada yang masam. Kita takkan tahu rasanya kalau kita tak cuba, betul tak?”

Kiki tak menjawab. Tapi dia tersenyum.

Lelaki itu senyum juga. Kemudian dia kembali masuk ke perut BMW 5 Series dan memandu pergi. Lelaki itu meninggalkan Kiki dengan konklusi ini:

Bercinta itu macam makan strawberi.

Friday, April 17, 2009

3

BAHASA MELAYU 1A

BAHASA INGGERIS 1A

PENDIDIKAN ISLAM 1A

SEJARAH 1A

MATEMATIK 1A

MATEMATIK TAMBAHAN 5C

PRINSIP PERAKAUNAN 3B

FIZIK 4B

KIMIA 4B

BIOLOGI 2A


Kiki menatap lagi slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia di atas bantal itu. Itulah keputusan SPMnya. Sekadar 6A1 1A2 2B4 1C5. Bukan dia tak tahu bersyukur.... Tapi takkan 6A1 1A2 2B4 1C5 saja? Bukan dia tak mahu bersyukur.... Tapi takkan 6A1 1A2 2B4 1C5 saja? Bukan dia tak sunguh-sungguh berusaha.... Tapi takkan 6A1 1A2 2B4 1C5 saja? Mengapa Jasmin boleh dapat 10A1? Sebab apa Wawa boleh dapat 12A1? Macam mana Chee King boleh dapat 13A1? Bagaimana Anand boleh dapat 13A1 juga?


Mengapa Kiki dapat 6A1 1A2 2B4 1C5 saja?


Tak pandai ke dia?


Tak cukup rajin ke dia?


Tak cukup berdoa ke dia?


Selepas pulang dari mengambil keputusan di sekolah tadi, Kiki terus tunjukkan pada Mak Su. Bukan sebab dia bangga dengan 6A1 1A2 2B4 1C5 itu, tapi Mak Su yang sungguh-sungguh mahu tahu. Dan Mak Su menangis gembira. Dia bersyukur Kiki dapat banyak A. Dia bersyukur Kiki lulus semua matapelajarannya. Mak Su peluk dan cium pipi Kiki. Tapi Kiki tak rasa apa-apa. Mak Su menangis lagi. Kiki tak rasa apa-apa pun. Mak Su berdoa supaya Kiki dapat masuk universiti pula.


Memang Kiki dapat banyak A.


Tapi 6A1 1A2 itu tak cukup untuk jadi 10A1 atau 12A1 atau 13A1.


Tak cukup untuk dia mendapat tempat di universiti.


Kiki masih mengurung diri di dalam bilik. Dia sekadar duduk di hujung katil. Slip keputusannya dibiar saja di atas bantal. Dia kunci pintu, tak mahu Mak Su masuk. Biarpun bilik itu satu-satunya di rumah mereka.


“Kiki... buka pintu, sayang.” Mak Su memujuk untuk kesekian kalinya dari balik pintu bilik. “Kita makan dulu, ya?”

“Kiki tak lapar.”

“Tapi Mak Su lapar. Mak Su tak makan lagi... nak tunggu Kiki.”

“Mak Su makan la dulu. Kiki tak mahu.”

“Mak Su ada buat karipap kobis untuk Kiki tahu?” Dan Mak Su kata ‘karipap kobis’ itu kuat-kuat. Dia tahu Kiki paling suka karipap kobis.

Kiki senyap.

“Kiki tak apa-apa ke?” Mak Su naik risau.


Tadi dia tak rasa apa-apa. Sekarang Kiki rasa seperti mahu menangis. Kiki cuba tahan. Dadanya jadi sebak. Sebak macam laut yang bergelora. Dia tak mahu menangis. Tapi ada hujan lebat diiringi ribut petir di dalam hatinya. Air mata naik ke tebing pandangan. Dia mengetap bibir, menahan rasa. Tapi setitis air yang diempang tadi terpercik ke pipinya.


Lalu Kiki menangis. Sungguh-sungguh dia menangis. Untuk setiap A yang dia dapat. Untuk setiap B dan C yang dia dapat. Untuk setiap A yang dia tak dapat.


Dan Kiki hanya akan dapat tujuh biji karipap kobis saja dengan keputusan SPMnya!


“Kiki....” Mak Su memanggilnya lagi dari luar bilik. “Mak Su tak kisah berapa banyak pun A yang Kiki dapat. Memang A tu penting untuk masuk universiti. Tapi dari dulu lagi Kiki dah diterima masuk ke universiti hati Mak Su.”


Kiki berhenti menangis, tiba-tiba.


Universiti hati?


“Sebab syarat kemasukannya bergantung kepada kasih sayang Kiki. Kalau Kiki yang mohon, Kiki dah over qualified.


Over qualified?


Tak pernah Kiki dengar wujudnya universiti hati. Tak pernah juga dia dengar Mak Su berbahasa Inggeris sebelum ini. Kiki jadi lucu. Dia ketawa. Mak Su pun. Kiki buka pintu. Cepat-cepat dia peluk Mak Su. Ketawa mereka jadi tangis semula.


“Kiki sayang Mak Su.”

“Mak Su pun....” Dan dia peluk Kiki dengan erat lagi. “Dah.... Cukup-cukuplah menangis. Takkan padam dakwat atas kertas keputusan Kiki tu. Kalau rezeki Kiki setakat 7A, terima aja.”

“Tapi universiti mana yang nak terima Kiki nanti?”

“Insya-Allah, Kiki akan dapat tempat yang baik.” Mak Su membelai rambut Kiki. Dan Kiki belum mahu lepas dari pelukannya. “Kiki dah pilih lapan kursus, kan? Mesti akan dapat salah-satu nanti. Kiki dah usaha.” Mak Su yakin itu. “Sekarang kita berdoa aja, ya?”

Kiki menyeka sendiri sisa air mata. Dia tak mahu menangis lagi. “Kiki kena sabar kan, Mak Su?”

Mak Su senyum. Dia pun sudah berhenti menangis. “Kita usaha, kita berdoa, kita sabar. Dan Tuhan sentiasa ada bersama orang-orang yang sabar.”

“Tapi sekarang Kiki dah tak sabar....”

“Kenapa?”

“Kiki lapar. Kiki nak makan karipap kobis!” Terus Kiki tarik tangan Mak Su ke dapur.

“Perlahan-lahanlah, Kiki!” Terkejut Mak Su dibuatnya. “Mak Su buat banyak karipap tu. Lebih dari 7A atau 20A untuk Kiki....”


Tapi tak sebanyak kasih di antara Mak Su dan Kiki. Yang tak boleh diukur ikut banyaknya A. Tak terkira dek banyaknya karipap kobis.

Friday, April 10, 2009

2

Kiki bosan. Pagi Isnin begini memang pelanggan tak ramai. Dari jam sepuluh ke sebelas setengah itu, baru ada tujuh pelanggan yang dilayannya. Suasana pun agak lengang. Mungkin masih terlalu awal untuk orang datang dan membeli (atau selalunya membaca saja). Uncle, si pengawal berbaju biru yang menjaga pintu masuk beritahu Kiki di luar hujan baru turun. Kiki melemparkan pandangan ke jendela besar yang terlindung dek kaunter Information. Hujannya agak lebat.

Patutlah suram saja....

Alunan akustik
panpipe ikut melodi How Deep Is Your Love? jadi muzik in-house BUKS®. Kiki menyanyi sama, di bawah nafas. Dia hanya mengulang ‘how deep is your love?’ di korusnya. Itu saja rangkap yang dia tahu!

Dream A Little Dream of Me menggantikan How Deep Is Your Love? Dia tahu itu lagu Michael Bublé. Dia suka penyanyi crooner dari Kanada itu. Tapi sekarang dia bosan. Lagu itu buat dia mengantuk. Sudahlah di luar hujan. Dan lagu itu pula menyuruh dia bermimpi. Mimpikan Michael Bublé....

Kiki mesti buat sesuatu! Kalau ikut jadual tugasnya, dia akan menjaga kaunter
Cashier itu sampai jam dua. Waktu itu barulah Arfan menggantikannya untuk syif petang. Kiki tak boleh tidur. Tapi dia boleh jadi gila kalau terus melayan rasa kosong bosannya.

Lalu Kiki mengambil sekeping resit yang ditinggalkan pelanggan terakhir tadi. Dia meneliti senarai buku yang dibeli. Ada
The Little Prince, The Great Gatsby, Sun Tzu’s Art of War dan Who Moved My Cheese. 1 4 3 pun ada. Dan Daddy-Long-Legs....

Pelik betul kombinasi citarasa orang ni, fikir Kiki. Kemudian dia letakkan resit itu di atas kaunter. Dia keluarkan pen gel warna hitam dari poket seluar. Seperti selalunya, dia mengimbang pen itu di atas muncung bibir dengan bawah batang hidung. Itu kebiasaan Kiki kalau dia berfikir. Dia akan menulis di muka belakang resit itu. Yang masih kosong. Dia mahu menulis.

Tapi menulis apa?

Pen masih diimbang di atas bibir. Dia berfikir lagi. Dia bukan berangan. Dia mahu merancang masa depan. Kiki teringat kata-kata yang diucapkan pada Mak Su beberapa hari dulu. Aku mahu merancang masa depan, dia mengulang. Sebab dia sayang Mak Su.

Dan terdengar 1 2 3 4 dari corong muzik
in-house BUKS®. Lagu itu lagu Feist. Penyanyi folk. Dia dari Kanada juga.

One, two, three, four
Tell me that you love me
Sleepless long nights
That is what my youth was for

Macam tahu-tahu saja lagu ni, bisik hati Kiki. Memang malam tadi dia tidur lewat. Hampir juga ke jam tiga pagi. Sebelum itu dia mengerjakan draf pertama Cerpen Yang Takkan Siap. Ironinya, dia dapat menyudahkan Cerpen Yang Takkan Siap itu. Dan cerpen itu akan Kiki hantar ke Tulis-tulis. Majalah pop fiction itu beri honorarium yang tinggi bagi karya-karya yang dipilih untuk terbitannya. Sebab itu Kiki selalu mengirim hasil penulisannya ke Tulis-tulis. Dan sudah enam cerpen dan tujuh puisi yang dia tulis diterima. Dia perlu wang honorarium untuk menambah dana ke universiti. Dia mahu tolong Mak Su juga.

One, two, three, four, five, six, nine or ten
Money can’t buy you back the love that you had then
One, two, three, four, five, six, nine or ten
Money can’t buy you back the love that you had then

Kiki ikut menulis nombor-nombor itu dari satu ke sepuluh. Di kepala resit dia tulis
Kiki’s To-do List.

1. Masuk universiti, ambil penulisan kreatif.

Itu yang pertama. Dia mahu ijazah dalam penulisan kreatif. Dia mahu jadi penulis. Yang bukan sekadar menulis. Tapi menulis dengan ilmu dan hemahnya.

2. Siapkan
Nandung.

Dia baru menulis
Nandung. Ceritanya ala-ala Cinderella. Yang bezanya, Nandung tak keciciran kasut kaca. Dia tertinggal cermin mata. Dan Ungku a.k.a Prince Charming mesti mencari pemilik cermin mata itu. Kelmarin Kiki di bab enam. Dia merancang mahu menulis sampai tujuh puluh bab. Malam ini, dia akan menulis lagi. Kalau siap nanti, itulah novel pertama Kiki.

3. Belajar resipi karipap kobis Mak Su.

Kiki memang suka karipap kobis yang Mak Su buat. Mak Su selalu buat karipap kobis kalau rezeki berniaga mereka berlebih. Sepinggan Mak Su buat untuk Kiki. Dan Mak Su kirimkan ke surau juga. Kiki mahu belajar buat karipap kobis untuk Mak Su pula.

4. Baca satu buku satu minggu.

Sekarang, Kiki hanya dapat beli sebuah buku sebulan. Itu saja yang dia mampu.

5. Jatuh cinta, untuk mencintai dan dicintai.

Er, Kiki tak mahu komen lebih-lebih tentang ini. Dia tak tahu bagaimana untuk menghuraikannya.

6.
Get a pet. Kucing?

Dulu, dia ada Buncit. Tiap-tiap malam, kucing hitam berkaki putih itulah yang jadi teman dia menulis. Kalau Kiki malas menulis, Buncit akan menggigit jari kakinya. Buncit takkan gigit tangan Kiki sebab dia tahu Kiki menulis dengan tangan. Apa saja yang siap ditulis, Kiki akan bacakan pada Buncit. Kalau Buncit tak suka, Buncit akan membawa lari kertas tulisan Kiki dan mengoyakkannya. Jadi Kiki terpaksa menulis yang lain. Tapi Buncit sudah mati tua.

7. Tambah kawan.

Selain Mak Su dan Buncit, Kiki tak punya ramai kawan. Bukan dia sengaja menyombong. Tapi Kiki seorang yang pemalu. Dia akan cuba kikis perasaan itu, untuk lebih cepat mesra dan senyum selalu. Bukan untuk jadi tak malu....

8.
Learn to drive!

Kiki tak tahu mengapa, tapi dia mahu belajar memandu.

9. Pakai baju kurung dengan
high heels.

Seumur hidup Kiki, dia cuma ada sepasang baju kurung (tolak pakaian sekolah). Itu pun baju kurung yang dibeli untuk Hari Raya lima tahun dulu. Yang lain, baju-baju kurung lama milik Mak Su. Dia tak kisah. Dia sedar yang hidup mereka bukanlah mewah sangat. Dia lebih selesa pakai t-shirt dengan seluar trek. Dia pun agak
tomboy. Tapi kadang-kadang dia teringin juga berbaju kurung kain kapas warna merah dengan songket berbunga emas. Dan kasut tumit tinggi warna hitam. Macam perempuan biasa. Tak salah pasang angan-angan, kan?

10. Tambah berat badan.

Beratnya sekarang cuma 42 kilogram. Dia mahu tambah tiga kilogram lagi. Dia tak suka jadi kurus. Dia tak mahu jadi gemuk. Tapi berat yang 45 kilogram memang sesuai dengan tingginya. Kiki pun memang suka makan....

“Er, cik.... Boleh saya bayar?” Soalan itu menyentak lamunan Kiki. Sedar tak sedar, sudah ada lima orang pelanggan yang berbaris. Kiki kaget. “Jauh mengelamun...” Si lelaki di baris depan tersenyum kepada Kiki. Wajahnya licin. Rambutnya gaya
out-of-bed. Dia menanggalkan cermin mata dan mengelapnya dengan hujung kemeja putih. Kedua-dua Kiki dan lelaki itu bertaut mata. Kiki jadi malu. Lelaki itu tersenyum lagi sebelum memakai semula cermin matanya. Dia mengulang, “Boleh saya bayar?”

Kiki kaget dan malu. Cepat-cepat dia mengimbas harga buku yang mahu dibeli lelaki itu. Ada
Speeches That Changed The World, grafik novel Watchmen dan Ulysses. Dan, “Semuanya RM225.90.”

Lelaki itu tersenyum lagi waktu Kiki mengembalikan wang baki dan bungkusan buku-bukunya. Tapi senyum balas Kiki pegun mengatup bibirnya. Dia tak dapat senyum! Kemudian lelaki itu meninggalkan Kiki dengan empat orang lagi pelanggan di belakang.

Selesai saja transaksi pelanggan kelima, Kiki menyapu mukanya yang masih terasa merah membahang. Dia
blushing habis-habisan tadi! Nasib baik juga pelanggan-pelanggan tadi tak marah. Mereka senyum saja. Lucu melihat muka Kiki yang merah itu, agaknya.

Kiki cuba bertenang. Dia mengemaskan kaunternya. Slip kad kredit dia susun ikut tender Visa, Mastercard dan American Express. Dia mengemas plastik bungkusan ikut saiz. Beberapa resit yang ditinggalkan pelanggan dia kutip. Tapi, “Mana
to-do list aku tadi?”

Baru Kiki sedar yang resit bertulisnya tadi sudah hilang.